Isnin, 21 Februari 2011

PUTIH SUCI

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Islam, agama suci yang tertegak pada lima (5) rukun. Seperti mana kisah Malaikat Jibril datang berjumpa Rasulullah, (dalam suatu hadis yang panjang) dan bertanya "..Wahai Muhammad, khabarkanlah kepadaku darihal Islam. Maka Rasulullah s.a.w. menjawab ; Islam itu ialah bahawa engkau mengakui tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawasanya Muhammad itu Pesuruh Allah, dan engkau mendirikan sembahyang, dan engkau keluarkan zakat, dan engkau puasa Ramadhan, dan engkau mengerjakan haji di Baitullah jika engkau sanggup pergi kepadanya. Ia (Jibril) berkata; Benarlah engkau.." (Hadis riwayat Muslim)







Lokasi    : Halaman rumah
Tarikh    : 21 Fevruari 2011
Kamera  : Fujifilm FinePix JV150
Juru foto : Zainal Jiee

Lima bahagian kelopak putih yang mekar suci. Warnanya yang bersinar menggamit hati.

Isnin, 7 Februari 2011

SETENANG BELALANG, LANGAU DATANG MENGACAU

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Ketenangan dan kedamaian merupakan impian setiap kita dalam mendepani kehidupan ini. Dalam kesibukan kerja dan himpitan masa yang berlalu pantas, menjadikan kita benar-benar menghargai masa yang terluang walaupun sedikit untuk mencipta ketenangan. Adakalanya kita mewujudkan zon masa privacy yang tidak boleh diganggu oleh orang lain. Namun, adakalannya zon masa ketenangan itu diceroboh oleh seseorang yang tidak kita duga kehadirannya. Ketenangan yang kita miliki hancur berkecai...




Saya begitu tertarik melihat kehadiran seekor belalang sedang bersantai di atas kelopak senduduk. Nampak tenang sekali. Walaupun saya merakamnya dalam jarak yang dekat, namun tidak sedikit pun ia menunjukkan reaksi dan pergerakan. Wah, benar-benar si belalang sedang membina zon ketenangannya.



 
Tetapi, tiba-tiba, hinggap pula si langau. Ah,..bikin kacau saja...




Lokasi         : Pinggir rumah
Tarikh         :  4 Februari 2011
Kamera      : Fujifilm FinePix JV150


Setulus Mentimun Tikus

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani


Lokasi    : Belakang rumah (Taman Desa Ilmu)
Tarikh     : 4 Februari 2011
Kamera  : Fujifilm FinePix JV150

Mentimun tikus tergolong tumbuhan yang hidup meliar dan menjalar. Buahnya bulat kecil sebesar ibu jari. Apabila masak, buahnya yang dibaluti sarung halus akan  berwarna kuning atau oren. Ketika zaman kanak-kanak dahulu, saya suka juga memetik buahnya yang masak untuk dimakan. Rasanya manis dan sedikit masam.
      Sifatnya yang tumbuh liar menyebabkan kita terlepas pandang akan manfaat kehadirannya. Namun tatkala melihat bunganya yang mekar putih keunguan, hati ini teruja untuk merakamkannya. Sungguh, kuntum bunganya sangat menarik. Malah saya bagaikan dapat merasa akan sentuhan jiwanya yang halus dan tulus.





Lihat, stigmanya yang cantik berupa cendawan memberikan mesej kepada kita agar tidak memberi stigma yang negatif terhadapnya lantaran nama dan sifat liarnya.

Ahad, 6 Februari 2011

SECANGKIR KOPI TAK PERNAH MUNGKIRI

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani


Lokasi    :    Rumah
Tarikh    :    ?
Kamera  : Sony

Sarapan pagi sudah menjadi rutin kehidupan. Tanpanya, terasa ada kekurangan pada hari yang dilalui. Lazimnya menu sarapan pagi lengkap - air dan bahan yang perlu dikunyah. Namun, bagi saya air lebih utama (sekurang-kurangnya) walaupun tanpa ada bahan untuk dikunyah dan diratah. Paling ringkas pun hanya sekadar air kosong. Kalau tak sempat juga, paling teruk telan air liur je  hehehe..Minum sambil membaca juga merupakan suatu nikmat dan tabiat saya. Bayangkan, sambil kita berenang dan menyelam dalam lautan aksara ayat demi ayat, kita mencicip secangkir kopi panas..bak kata ungkapan, menyelam sambil minum air..ah, betapa nikmatnya saya rasakan. Apa-apa pun nikmat air itu perlu kita hargai dan syukuri, jangan kita mungkiri ikrar kita kepadaNya...

JEJARUM MENUSUK BERDARAH

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Jarum merupakan benda yang tajam runcing dan halus. Lazimnya jarum untuk menjahit pakaian yang koyak atau menjahit pakaian baru. Tukang jahit memang itu pekerjaannya. Selain itu, jarum juga digunakan untuk menyuntik ubat-ubatan ke dalam tubuh pesakit. Ini dilakukan oleh para doktor atau pembantu perubatan (MA). Sewaktu kecil dahulu, saya memang takut kena suntik. Malah, saya pernah bersembunyi lama di dalam jamban sekolah kerana takut di suntik. Ketika itu pegawai perubatan datang ke sekolah untuk membuat suntikan sakit kerongkong (tahun 80-an). Namun, saya tidak boleh lepas. Kena suntik juga. Begitu juga apabila demam, emak atau ayah membawa ke klinik kesihatan. Pasti yang menjadi mangsa jarum ialah belakang punggung. Sakitnya sukar digambarkan. Hanya boleh diserlah dengan tangisan sahaja. Begitulah kalau jarum sudah menusuk. Darah akan keluar dalam kadar sedikit tapi sakit...


Lokasi    : Depan kedai Perodua , Desa Ilmu, Kota Samarahan
Tarikh    : 5 Februari 2011
Kamera  : Fujifilm FinePix JV150

Namun adakah jejarum sebisa jarum? Lihat, bunganya yang berbatang halus dan kelopaknya runcing. Warna merah marak bagaikan darah sedikit menggambarkan ia sebagai bunga yang 'garang' sesuai dengan namanya, jejarum. Tunggu, jejarum tidak begitu. Jejarum seperti kebanyakan bunga yang lain juga, ia sangat mesra. Lebih-lebih lagi tatkala kuntumnya mulai tersenyum..



Lokasi      : Depan kedai Perodua, Desa Ilmu, Kota Samarahan
Tarikh       : 5 Februari 2011
Kamera    : Fujifilm FinePix JV150

Jejarum, bunga runcing merah, mekar kuning menyerlah...

SENYUMAN MENGUNTUM.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Senyum adalah sedekah. Itu yang pernah diungkapkan oleh Rasulullah s.a.w. di dalam sabdanya. Amalan memberi senyuman merupakan amalan yang baik dalam mewujudkan hubungan mesra  dalam kalangan manusia. Senyum - sesuatu yang mudah dilakukan namun agak payah untuk diaplikasikan dalam amalan hidup seharian. 




Lokasi    : Bengkel motosikal Desa Ilmu, Kota Samarahan
Tarikh    : 5 Februari 2011
Kamera  : Fujifilm FinePix JV 150

Sementara menunggu basikalnya siap dibaiki, anak saya yang nombor empat, Nurul Khairina sempat memberi SENYUMAN di sebalik tayar basikalnya. Ya, kanak-kanak memang kaya dengan senyuman. Dunia mereka indah kerana sentiasa senyum. Mereka belum mampu memikirkan masalah yang berat-berat. Basikal rosak bukan suatu masalah yang berat untuk difikirkan kerana yang bayar nanti ialah bapa! (RM 17.00).





Lokasi     : Dewan Sri Utama, SMK Wira Penrissen, Kota Samarahan
Tarikh     : 8 Januari 2011
Kamera   : Fujifilm FinePix JV 150

Kesibukan pihak sekolah menganjurkan Kejohanan Merentas Desa tidak sedikit pun merisaukan sesetengah pelajar. Yang penting, itulah saat untuk bergembira, bebas daripada serkupan bilik darjah yang membosankan dengan nota dan leteran guru. Beberapa orang anak murid sempat memberi penampilan ceria dengan pelbagai gaya senyuman dan tawa. Ya, mereka tetap senyum gembira, sedangkan saya sedikit risau menguruskan pelajar saya yang bertanding dan diamanahkan pula untuk menjadi pengacara majlis pada sesi penutupan kejohanan.


Alangkah indahnya dunia dan kehidupan andai semua kita tidak lokek dengan SEYUMAN!

Sabtu, 5 Februari 2011

SURAH AL-FATIHAH.....Biru yang menyerlah






Lokasi    : Rumah
Tarikh    : 3 Februari 2011
Kamera : Fujifilm FinePix JV150


Surah Al-Fatihah merupakan surah yang pertama sekali dalam susunan surah-surah di dalam Kitab Suci Al-Quran, sesuai dengan makna al-fatihah iaitu "Pembuka". Bacaan al-fatihah menjadi rukun wajib dalam ibadah solat. Setiap hari, umat Islam membaca surah ini sebanyak 17 kali dalam solat fardu.

Saya terlintas untuk merakam surah ini pada al-Quran dalam simpanan saya kerana tertarik pada warna dan corak hiasan layoutnya. Warna biru yang lembut dan tenang. Kebetulan di ruang tamu rumah saya ada lampu kalimantang berwarna biru. Saya cuba menggunakan penataan cahaya biru itu untuk merakam surah ini. Apa yang saya dapati, hasilnya amat memuaskan. Birunya kian menyerlah. Bagaikan kilauan mutiara biru yang dikeluarkan dari dasar lautan biru yang tenang...

PENGENALAN

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Syukur alhamdulillah, dengan izinNya jua, maka pada hari ini saya telah selesai membina satu blog yang dikenali sebagai blog 1Foto1001Kisah. Blog ini bukanlah medan untuk mengajar atau memberi penerangan tentang teknik-teknik fotografi. Hakikatnya, saya sendiri masih terlalu jahil dalam soal tersebut. Blog ini saya wujudkan sebagai tempat memaparkan gambar-gambar (foto-foto) yang telah saya rakamkan. Saya berasa seronok andai gambar-gambar tersebut dikongsi bersama untuk bahan tatapan umum. Daripada gambar tersebut mungkin kita boleh berdiskusi apa saja tentangnya yang kelak mampu memberi sesuatu manfaat kepada kita sama ada dari segi pengetahuan, maklumat, ilmu pengetahuan, dan pengalaman.

Akhir kata, dalam usaha memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada sepanjang pengendalian blog ini, pandangan dan pendapat daripada rakan-rakan blogger amat diperlukan. Saya berharap agar blog ini mampu memberi manfaat kepada kita semua.

Sekian.

-kameralama-